19 May 2009

Hilang DUN Penanti Bukannya Hilang Satu Malaysia

Tidak ada yang pentingnya kawasan di Penanti yang terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang itu. Kecualilah di Penanti itu ada beratus-ratus lombong emas , beribu-ribu telaga gas atau pelantar petrolium. Lain lah juga jika di Penanti itu ada 80% penyokong-penyokong kerajaan yang tidak sabar-sabar hendak mengundi bagi mengembalikan balik Penanti kepada BN.

Setelah 24 jam, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan bertanding di DUN Penanti tidak ada satu pun rombongan bas atau kereta berbondong-bondong berjumpa PM supaya mengubah keputusan bagi meletakkan calon BN bertanding di sana. Rakyat Penanti sendiri tidak seghairah parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menelanjangi pemimpin-pemimpin BN untuk kesekian kalinya.

Walaupun keputusan ini bukan tradisi BN iaitu tidak bertanding di PRK kali ini tetapi alasan yang diberi adalah munasabah. Mereka menganggap pilihanraya kecil kawasan itu tidak berasaskan kepada kehendak perlembagaan dan hanya mainan politik pembangkang khususnya permainan Anwar Ibrahim. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika mengumumkan pendirian BN itu berkata, pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan hanya kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak menyelesaikan masalah dalaman mereka sahaja.

Nampaknya BN berani membuat keputusan yang berbeza dengan kebiasaan. BN mengambil keputusan agar tidak terlalu mengikut-ikut rentak dan tari Anwar. Sama ada bertanding atau tidak Anwar akan terus melancarkan peluru berpandunya. Penanti adalah kawasan hitam pekat kepada BN. Anwar cukup yakin PR akan menang. Sebelum ini pun Penanti bukan milik BN. Dalam momentem sekarang adalah membuang masa BN bertanding kerana keputusan sudah diketahui lebih awal. Hilang Penanti bukannya hilang satu Malaysia.

Menang di Penanti tidak juga membawa apa-apa makna. Rakyat Penanti pun memang suka kepada Pakatan Rakyat di mana mereka telah memberi majoriti undi Anwar Ibrahim lebih tinggi daripada undi yang di perolehi oleh calon BN dalam PRK Permatang Pauh yang lalu. Bukankah sumbangan undi terbesar datangnya daripada DUN Penanti?. Kalau hidung tak mancung, pipi jangan tersorong-sorong.

Bagaimana dengan penyokong BN di situ? Mereka adalah minoriti. Kalau mereka yakin, sudah berbondong-bondong mereka ke Putrajaya meminta PM ubah keputusan. Penanti dah hinggar binggar dengan suara-suara pemimpin meminta BN bertanding. Pengumuman Najib hanya untuk kata pemutus dan muktamad.

Silapkah BN?. Risiko tetap ada tetapi politik juga boleh diibarat seperti bermain bola. Jikalau pihak lawan melajukan tempoh permainan, wajarkah kita turut melayan cara mereka sedangkan separuh pemain tidak cukup fitnes. Jadi sebagai pasukan underdog kita hanya memperlahankan tempo permainan. Tidak perlu mengikut rentak lawan kerana mereka mempunyai ramai penyerang berbisa. Mungkin bahagian pertahanan perlu diletakkan ramai pemain. Sekurang-kurang mengekalkan keputusan seri pun sudah memadai. Kita bergantung dengan serangan-serangan kilat, kalau bernasib baik dapatlah gol.

Adakah yang bersedih? yang ralat sangat-sangat? Entahlah....kalau ada pun yang terkilan sangat tak lain tak bukan Anwar Ibrahim. kalau BN bertanding, siaplah BN akan di salai dan di panggang hidup-hidup di Penanti. Anwar Ibrahim terkedu ke? atau terperanjat ke? Tidak juga. Anwar sudah siapkan berbagai plan. Plan A, Plan B atau Plan C. Thinktank Anwar dah siapkan pelbagai langkah supaya pemimpin kita tidak sempat berfikir untuk rakyat tetapi bagaimana nak melayan kerenah-kerenah politik Pakatan Rakyat. Ianya akan berterusan.

Kesimpulannya, kadang kala kita perlu melangkah setapak ke belakang. Kadang-kadang kita perlu berehat seketika. Kadang-kadang kita perlu berfikir dan bertindak di luar dari kebiasaan. Biar kita bertindak luar biasa sedikit. Inilah pendekatan yang dibuat yang saya rasa ada benarnya. Ada logiknya dan ada betulnya.

No comments:

Post a Comment