13 October 2009

Rakyat Kedah GEMBIRA .... TERIMA KASIH BN

PENDANG - Seramai 76 keluarga yang menerima rumah daripada Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) meluahkan rasa gembira kerana mereka tidak lagi menumpang di rumah orang, menetap di rumah daif dan menyewa rumah.

Noriza Hamad, 39, kini tinggal di Kampung Lubok Rambutan Mukim Padang Pusing di rumahnya sendiri yang terlalu daif bersama seorang anak tanpa mempunyai kemudahan air dan elektrik.

Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Keda kerana permohonan yang dimohonnya dalam masa sebulan telah diluluskan dengan cepat setelah dia mengemukakan maklumat diri dan kehidupannya yang daif itu.

“Saya hampir 18 tahun bergelar sebagai ibu tunggal dan sebelum ini tiada mana-mana pihak yang turun padang melihat kehidupan saya yang daif ini walaupun beberapa kali dia dimaklumkan akan datang melawat melainkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kesempitan hidup yang dialami saya begitu teruk menyebabkan saya tiada jalan lain melainkan membuat permohonan kepada Keda,” katanya kepada Sinar Harian.

Noriza berkata, dia menyara seorang anak dengan mengharapkan pendapatan mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.

“Walaupun menetap di rumah usang tetapi melihat pelajaran anak semakin meningkat memberi semangat kepada saya untuk terus membina keluarga yang bahagia.

“Saya kasihan melihat anak terpaksa belajar di dalam keadaan gelap dengan nyalaan cahaya pelita minyak,” katanya.

Dia berkata, setelah mendapat rumah baru ini, merupakan satu perubahan baru baginya dan anaknya kerana mempunyai kemudahan air dan elektrik.

Menurutnya, rumah daif itu mempunyai banyak kebocoran dan ketika hujan dan angin kuat dia dan anak terpaksa berlari ke rumah emak yang tinggal berdekatan itu kerana bimbang rumah itu akan roboh.

“Kini kami masih menetap di rumah lama lagi sementara menunggu rumah baru yang sedang dalam pembinaan.

“Kemungkinan akan disiapkan pada bulan hadapan dan saya tidak sabar untuk merasai rumah baru yang selesa seperti orang lain,” katanya.

Kesempitan hidupnya tergambar apabila dia hanya mengharapkan air perigi untuk minum dan memasak walaupun keadaan air itu kurang menjamin kebersihan tetapi tiada jalan lain melainkan reda dengan kehidupan mereka.

“Saya memperoleh bantuan wang bulanan daripada JKM sebanyak RM80 sebulan dan pendapatan itu tidak mencukupi bagi menanggung kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya sudah ke Pejabat JKM Pendang bagi memohon bantuan bulanan dinaikkan agar dapat meringankan beban kerana pendapatan itu tidak mencukupi bagi menyara anak saya yang masih bersekolah,” katanya.

Dia berkata, setelah menetap di rumah baru ini, merupakan satu titik permulaan baru baginya dan anak dan dia akan berusaha membina keluarga yang bahagia dan akan mendidik anak agar berjaya dalam pelajaran.

No comments:

Post a Comment