22 May 2009

Biro Penerangan Proaktif Susun Strategi


Biro Penerangan UMNO akan gunakan empat kaedah penerangan iaitu Media Bersemuka (MB), Media Cetak (MC), Media Eletronik (ME) dan Media Maya (MM), kata ketuanya, YB Ahmad Maslan.

Selain itu, menurutnya lagi, jentera penerangan turut akan mengamalkan kaedah dari Gelap kepada Samar, kemudian kepada Terang (GST).

“Di samping itu, siri penjelasan dan penerangan mesti berterusan kerana kalau rakyat kurang jelas, akan timbul rasa tidak puas hati,” katanya selepas membuat lawatan di RTM. Turut sama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Tambah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, gerak kerja mereka juga akan mendekati golongan muda dan menggunakan media baru, media di alam maya dengan menyampaikan maklumat yang benar dan sekali-kali tidak akan terjebak dalam penyebaran kancah fitnah dan berita-berita palsu seperti yang diamalkan di dalam blog dan laman web pembangkang.

Dengan seramai 62, 847 orang, jentera penerangan akar umbi berpotensi untuk digerakkan di samping penyediaan pengkalan data bagi kelancaran aktiviti dan program di peringkat akar umbi, katanya.

“Ini kerana, aktiviti mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka.

“Kalau boleh setiap bulan satu aktiviti, ini akan menggerakkan UMNO di akar umbi,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, aktiviti penerangan dengan kaedah 4M boleh dipraktikkan, sebagai contoh, Ketua Puteri cawangan boleh melancarkan laman web atau blog, Ketua Pemuda cawangan mengadakan dailog dengan pemuda bermotor, Ketua Wanita, selepas majliis tahlil di surau menganjurkan program membentuk anak-anak cemerlang. Begitu juga dengan Ketua cawangan boleh menganjurkan siri ceramah penjelasan isu semasa.

“Untuk menggerakkan aktiviti penerangan di cawangan bukan hanya ceramah sahaja tetapi ada pelbagai pendekatan kreatif dan inovatif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan BN itu sendiri membawa maksud memBina Negara manakala UMNO adalah Untuk Membela Nasib Orang.

Program dan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tonggaknya UMNO adalah untuk rakyat dan banyak mendatangkan manfaat kepada rakyat berbanding program di bawah negeri yang dikuasai pembangkang.

“Ada kalanya rakyat lupa, sebagai contoh, BN membelanjakan RM10 juta untuk membaiki sebatang jalan di kampung tetapi mereka tidak nampak.

“Tetapi apabila ada pemimpin pembangkang bagi hamper RM100, mereka dianggap bela rakyat!,” katanya.

Ketika ditemubual oleh Radio Klasik Nasional pula, beliau memberi pandangan bahawa pemimpin dan ahli UMNO mesti mengubah pendekatan di mana mesti dahulukan rakyat dan utamakan prestasi serta pencapaian dalam tugas.

“Menerusi konsep 1Malaysia, kerajaan tidak pernah pinggirkan mana-mana kaum,” katanya.

Manakala mengenai Bahasa Melayu, seharusnya semua orang kena jujur memartabatkannya kerana ia adalah bahasa yang menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

Ini terbukti sudah 53 tahun negara merdeka dan UMNO pula 63 tahun, harap supaya rakyat sedar Bahasa Melayu mampu menyatupadukan bangsa di negara ini, katanya.

No comments:

Post a Comment