30 March 2009

Janji kosong pembangkang

Pilihan raya kecil yang akan berlangsung di tiga tempat berasingan 7 April hadapan adalah satu harapan baru kepada para pengundi untuk mengembalikan semula suara sebenar UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai suara utama rakyat di kalangan penduduk tempatan.

Tentunya para pengundi dan masyarakat tempatan di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah di samping di Batang Air, Sarawak mengambil iktibar dari kekalahan BN apabila pembangkang memperoleh kemenangan daripada dua kawasan tersebut.

Lantas, natijahnya dirasai oleh mereka apabila janji-janji yang ditaburkan dalam kempen pilihan raya umum ke-12 lalu hanya sekadar gula-gula pemanis kata.

Buktinya, tidak ada sebarang pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat dibawa sebaliknya wakil rakyat yang diamanahkan untuk menjadi suara kepada masyarakat pula gagal menjaga kebajikan rakyat.

Apa yang mahu diperkatakan tentang suasana politik Negeri Perak yang sememangnya telah kecoh sejak awal tahun ini dan apa lagi yang mahu dibuktikan oleh calon Pas Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin sedangkan dia sendiri secara peribadinya gagal menunjukkan contoh terbaik apatah lagi untuk diangkat sebagai pemimpin.

Tidak usahlah dibangkitkan kedudukannya sebelum ini yang hanya menjadi Menteri Besar atas nama sahaja sedangkan ada pihak lain yang berselindung di sebalik jawatan yang dimilikinya. Malahan dirinya sendiri telah terpalit dengan pelbagai spekulasi yang ternyata benar dengan gilakan pangkat dan kedudukan, enggan menyerahkan jawatan waima kenderaan rasmi Menteri Besar yang dibelinya sewaktu berkuasa.

Tidak habis di situ sahaja, sebaliknya perbuatan Nizar dianggap melampau apabila sanggup melawan titah Sultan Perak hanya kerana kuasa hinggakan timbul demonstrasi dan tunjuk perasaan yang melibatkan rakyat ekoran manipulasi mereka yang tidak bertanggungjawab.

Begitu juga dengan kedudukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah yang sememangnya boleh dianggap hanya membuang masa dan tenaga ekoran daripada pemilihan calon tangkap muat iaitu lebih banyak masalah peribadi daripada menyelesaikan permasalahan berkaitan rakyat tempatan.

Lebih malang lagi, wakil rakyat Bebas yang memberikan sokongan kepada PKR itu akhirnya lari dari kenyataan ekoran personaliti dan keperibadian songsang yang tidak boleh diterima oleh masyarakat setempat.

Lantaran itu, untuk apa lagi PKR meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya tersebut sekiranya dia sendiri telah terbukti gagal menyelesaikan masalah dalamannya.

Sementara itu, bagi kawasan DUN Batang Ai di Sarawak yang menyaksikan berlakunya pertandingan melibatkan calon BN Malcom Mussen dan calon PKR dilihat bahawa calon lawan ibarat hanya mahu menangguk di air keruh sahaja.

Dalam hal ini, PKR di kawasan tersebut seperti sengaja cuba menimbulkan hal-hal semasa yang tidak berkaitan termasuklah isu tanah adat yang sememangnya tidak pernah diketepikan oleh kerajaan.

Malahan BN di Sarawak telah menambah keluasan tanah adat kepada penduduk setempat selaras dengan pertambahan jumlah dan bilangan ahli keluarga yang semakin berkembang.

Sehubungan itu, apa lagi yang mahu dibuktikan oleh parti-parti pembangkang kerana pengundi tidak mungkin tertipu lagi dengan janji-janji palsu mereka!

No comments:

Post a Comment