01 April 2009

Peluang bagi BN

Kehadiran 13 calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mungkin memberi sedikit kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN).
Pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, kelebihan untuk BN itu adalah berdasarkan calon-calon Bebas tersebut mampu menarik sokongan daripada pengundi-pengundi atas pagar.
Menurutnya, jika tiada calon Bebas, dalam senario politik semasa golongan pengundi berkemungkinan lebih cenderung mengundi pakatan pembangkang.
"Sebagaimana di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-12, undi yang diterima oleh calon Bebas, Maimun Yusof sudah cukup untuk menafikan kemenangan Pas sebaliknya memihak kepada BN.
"Dengan undi yang akan berpecah kepada 15 calon, saya lihat BN sedikit berpeluang kerana mempunyai ramai pengundi 'tegar' berbanding pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, Nidzamuddin menjangkakan mana-mana calon yang menang pada pilihan raya itu hanya mendapat majoriti kecil.
"Sama ada kemenangan di pihak BN atau pembangkang mahupun Bebas, majoriti yang diperolehi mungkin sedikit saja," jelasnya.
Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad, pula mengakui fenomena di Bukit Selambau unik dan berbeza dengan kawasan lain.
"Kehadiran ramai calon Bebas mungkin gambaran manifestasi perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat di Bukit Selambau," jelasnya.
Biarpun begitu, beliau tidak yakin calon-calon Bebas itu mampu menang sebaliknya ramai yang mungkin hilang wang pertaruhan.
"Mereka tiada jentera yang kuat seperti BN atau pakatan pembangkang, itu akan menyukarkan mereka berkempen," ujarnya.

No comments:

Post a Comment