01 April 2009

UMNO Bangkit, Pembangkang Rebah

Manipulasi dan provokasi yang digunakan sebagai senjata oleh pihak pembangkang dengan niat untuk menghancurkan UMNO terbukti tidak berkesan apatah lagi kedudukan UMNO hari ini ibarat seperti dilahirkan semula dengan satu semangat baru untuk survival perjuangan bangsa.
Bagi menghadapi tiga pilihan raya di tiga tempat berasingan, penamaan calon baru sahaja dilancarkan Ahad lalu yang bermakna tempoh berkempen juga telah bermula dan dijangka semakin rancak sehinggalah ke hari pengundian pada 7 April hadapan.
Sememangnya, suasana penamaan calon yang berlangsung dengan lancar tanpa sebarang pertelingkahan dan insiden buruk berlaku amat menyenangkan kerana berdasarkan kepada suasananya dapatlah dinilai keadaan pilihan raya yang akan berlangsung nanti.
Namun demikian, yang tidak sedap untuk diperkatakan adalah cara berkempen parti-parti pembangkang yang masih juga terus-terusan mengamalkan cara lama iaitu dengan melemparkan tuduhan dan fitnah kepada UMNO dan ahli-ahlinya.
Lebih memalukan lagi apabila sudah kedengaran antara kandungan kempen yang dicanangkan oleh ahli Pas dan PKR ialah mengeji dan memfitnah para pemimpin UMNO termasuklah Presidennya yang baru iaitu Datuk Sri Najib Tun Razak.
Malahan, keperibadian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak terlepas dari menjadi bahan lelocon dan senda gurau dalam cakap-cakap untuk meraih sokongan dan perhatian dari masyarakat tempatan.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa bercakap perkara yang tidak benar lebih mudah daripada menceritakan perkara fakta dan realiti sebenar pentadbiran negara kepada masyarakat, apatah lagi jika disajikan pula dengan hidangan berbentuk provokasi dan manipulasi ke atas pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.
Dalam hal ini, kewajaran dan keprihatinan para pengundi yang semakin bijak menilai tidak pernah diketepikan walaupun para pembangkang menggunakan propaganda dan retorik semata-mata dalam ucapan mereka.
Sesungguhnya, terbukti bahawa perkembangan positif UMNO dan kerajaan BN dalam menangani setiap agenda dan krisis bersama rakyat secara tidak langsung telah menimbulkan rasa iri hati di kalangan pembangkang.
Manakan tidak, kerana kekuatan dan kebangkitan UMNO bersama-sama BN telah menyebabkan mereka gerun lantas lemah berikutan modal yang mereka mahu gunakan berkaitan kegagalan dan keburukan kerajaan tidak ada.
Dalam soal lain, fikirkan pula, jika pembangkang tidak bercakap hal-hal yang memburukkan UMNO dan BN, apa lagi yang mereka mahu perkatakan kerana mereka tidak mampu untuk bercerita soal pembangunan. Ini kerana tidak ada sebarang kemajuan dalam aspek pembangunan yang mereka terlibat termasuklah sebagai pemimpin di lima buah negeri dan kemudiannya satu kembali kepada BN.
Sekiranya mereka mahu mengulas berkaitan kebajikan pula, apakah kebajikan yang mereka sumbangkan dalam aspek yang besar hingga mampu meringankan beban penduduk tempatan seperti mana yang disediakan oleh Kerajaan dalam BN?
Apakah pihak pembangkang mahu mencanangkan perihal buruk setiap seorang wakil rakyat mereka, dari yang gilakan pangkat dan kuasa hinggalah kepada yang mempunyai masalah moral dan perlakuan songsang.
Lantas, hanya dengan memburukkan UMNO dan BN, fitnah dan caci maki sahajalah modal yang paling mudah untuk dijadikan medan politik sedang mereka sendiri lupa pengundi tidak mungkin mudah terpedaya dengan wayang kuit rekaan mereka.

No comments:

Post a Comment