31 March 2009

Kenderaan BN jadi sasaran pembangkang: Razali

Kenderaan milik petugas dan penyokong Barisan Nasional (BN) kini menjadi sasaran penyokong parti pembangkang yang bertindak mengetuk dan mencalarkan badan kenderaan terbabit. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, ketika mendedahkan perkara itu, berkata kenderaan beliau sendiri menjadi mangsa serangan penyokong pembangkang yang bertindak liar selepas diapi-apikan melalui ceramah dan kenyataan provokasi pemimpin mereka. "Berlaku adillah kepada Pemuda Umno dan Pemuda BN. Dulu kita selalu nampak kenderaan dengan lambang dan bendera BN, hari ini kita akan nampak pembangkang lebih banyak guna kaedah itu kerana kereta BN diserang dan kereta mereka tak diserang.
"Beritahu saya kereta mana yang membawa lambang pembangkang diserang? Kereta dengan bendera BN sering kali diserang dan dicalarkan, cuma kita tak buat laporan saja, kalau nak buat laporan memang banyak. "Kita nak beri tahu kepada parti pembangkang terutama pemimpin mereka, bertanggungjawablah dalam membuat kenyataan dan memberi ceramah kerana jiwa muda ini mudah dibakar," katanya pada sidang media di Pusat Bilik Gerakan Induk Pemuda BN di sini, petang tadi. Turut menjadi mangsa ialah Proton Perdana milik Penolong Setiausaha Pemuda Umno/BN Kedah, Haris Che Mat, yang dicalarkan dan ditoreh perkataan kesat.

No comments:

Post a Comment