31 March 2009

Pakej rangsangan bermula


Kerajaan mula mengagihkan peruntukan pakej rangsangan ekonomi bagi menaik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah seluruh negara.
Antara sekolah terawal yang menerima peruntukan itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Tukang di sini.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan pelajaran di kalangan rakyat pelbagai kaum.
"Sebanyak RM350,000 peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi ini adalah untuk membina bangunan tambahan atau menaik taraf kemudahan pendidikan bagi SJKT Sungai Tukang.
"Peruntukan ini penting bagi memastikan kemudahan pengajaran di kalangan murid-murid dan guru mencukupi.
"Ia juga menunjukkan usaha dan komitmen serius kerajaan membantu melahirkan insan cemerlang pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan Cek Pakej Rangsangan Ekonomi kepada Guru Besar SJKT Sungai Tukang, K. Devi di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S. Ganesan.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, penyediaan pakej rangsangan ekonomi tersebut turut dibuat kerajaan sejajar dengan komitmen untuk terus membantu sekolah pelbagai aliran di negara ini.
"Kerajaan mempunyai tanggungjawab meningkatkan taraf hidup rakyat secara saksama. Ini kerana kita percaya, pendidikan adalah satu pelaburan jangka panjang yang penting di kalangan semua pihak tanpa mengira daripada golongan mana sekali pun," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment