01 April 2009

Tuduhan pembangkang memakan diri

Tuduhan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) angkuh dalam melayani parti komponennya kini berbalik kepada mereka sendiri apabila pakatan pembangkang mula berpecah dan gagal mempertahankan perpaduan mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pakatan pembangkang kini gagal mempertahankan kesatuan mereka walaupun baru setahun bersama berjuang berbanding perpaduan komponen BN yang sudah berdekad lamanya terjalin.
''Kita lihat tidak sampai setahun pengundi India mulai lari daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan perayu undi wanita di Bilik Gerakan Wanita BN di sini semalam.
Mengulas tindakan kira-kira 500 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jerai yang bertindak meninggalkan parti itu hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan mereka, beliau berkata, perkembangan itu meresahkan pemimpin pembangkang.
Menurutnya yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau 7 April ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja gagal menunaikan janjinya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi kini beliau bimbang dengan keretakan dalam parti itu.
''Pakatan antara mereka yang ideologinya berbeza tidak akan bertahan, apa yang penting UMNO dan parti komponen lain kena mempertahankan perpaduan kita dan jika diizinkan tuhan, pakatan pembangkang akan menjadi semakin lemah dan menunjukkan siapa gelas dan siapa permata," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, BN akan membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan kekecohan yang dijangka berlaku pada hari pengundian.
''Seperti biasa kekecohan akan wujud pada hari pengundian dan pengundi disekat daripada keluar, jadi kita akan membuat persiapan awal dan kena memastikan ahli kita sendiri daripada UMNO, MCA dan MIC serta komponen lain keluar mengundi," katanya.
Dalam pada itu katanya, BN perlu meyakinkan jentera dan pengundi bahawa calonnya dalam pilihan raya kecil kali ini adalah calon yang telah dipersetujui oleh kepimpinan parti sebulat suara dan ia berlaku di kerusi-kerusi lain juga.

No comments:

Post a Comment