01 April 2009

Ganesan mahu bantu semua kaum

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S. Ganesan (gambar) menyifatkan dirinya sebagai 'Obama' untuk rakyat Malaysia khususnya bagi penduduk di kawasan berkenaan.
Dengan menjadikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama sebagai idolanya, Ganesan, 50, memberitahu, beliau dan pemimpin negara kuasa besar itu hampir sama daripada aspek memperjuangkan kepentingan rakyat.
''Cuma bezanya, saya memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia di Bukit Selambau kerana saya tahu erti kesusahan berdasarkan pengalaman hidup sebagai anak orang susah dari sebuah ladang," katanya.
Ganesan berkata demikian selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Sungai Getah dekat sini hari ini.
Katanya, para penduduk di DUN Bukit Selambau diharap dapat memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kesungguhannya memperjuangkan nasib mereka kerana hanya BN yang mampu berbuat demikian.
''Saya harap, pengundi jangan terkeliru kerana 15 orang bertanding, berhati-hatilah memilih logo BN iaitu simbol dacing dan saya berjanji akan menjalankan perkhidmatan kepada rakyat dengan baik.
''Usah dengar dakyah pembangkang kerana mereka tidak mampu untuk melaksanakan janji," tambahnya.
Menurut Ganesan, hubungannya yang rapat dengan menteri-menteri pasti akan memudahkan urusan melibatkan rakyat di kawasan berkenaan sekiranya mereka memberikan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April ini.

No comments:

Post a Comment