30 March 2009

Survival UMNO!


UMNO tidak pernah lari dari asas dan tujuan penubuhannya. Lantaran itulah juga, UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang kerajaan sentiasa gagah mengibarkan sayap dalam meneruskan perjuangan untuk terus diwariskan kepada generasi akan datang sebagai pusaka bangsa.

Justeru keteguhan dan kelestarian UMNO yang menjadi wadah perjuangan bangsa, sentiasa diasak dengan pelbagai cabaran bukan sahaja dari pihak pembangkang yang sememangnya mahu melihat kemusnahan perpaduan sebaliknya, parti keramat ini juga turut diuji dari dalam termasuklah keteguhan kepimpinan, kesetiaan ahli-ahlinya dan juga dilibatkan dengan pelbagai macam masalah.

Sememangnya, perpaduan yang erat dan keteguhan bersama telah menyumbang kepada kejayaan, kemakmuran dan survival negara secara berterusan dan berkesan. Negara yang kuat dan utuh adalah negara yang mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara.

Ia telah terbukti. Sejak UMNO ditubuhkan, bangsa Melayu bersatu menentang penjajah, mencapai kemerdekaan, memperoleh pembangunan dan seterusnya menjadi antara negara membangun yang termoden di peringkat antarabangsa.

Kepesatan negara yang bangkit dari kemusnahan dan kemiskinan sememangnya telah membuka mata pelbagai pihak sama ada di dalam atau di peringkat antarabangsa juga. Kerana itu, ramai pihak yang menjadikan UMNO sebagai pusat rujukan bagi sebuah negara Islam maju serta dijadikan panduan dalam pelbagai sektor.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pihak yang angkuh dan tidak senang dengan kemajuan negara. Ini bukan sahaja diperlihatkan oleh negara-negara pesaing tetapi lebih malang lagi apabila ada segelintir anak bangsa Melayu sendiri yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam – mengkhianati jati diri bangsa Melayu!

Dalam diam, pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba menjadi hero dengan memusnahkan bangsa sendiri, sanggup menggadai maruah negara dan mempertaruhkan agama sebagai bahan dagangan lantas mengambil kesempatan atas segala kemudahan dan kebaikan yang disediakan oleh kerajaan waima UMNO sendiri.

Jika diamati, perpecahan yang berlaku dalam sesebuah negara tidak pernah ada yang menguntungkan. Ibarat ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’ dengan hanya memberikan impak negatif kepada rakyat keseluruhannya.

Lantaran itu, terbukti bahawa hanya dengan perpaduan, UMNO akan kukuh dan negara akan menjadi makmur!

No comments:

Post a Comment