01 April 2009

Cerita Pengundi Hantu Muncul Lagi, Petanda Baik Buat BN Di Bukit Selambau

Cerita pengundi hantu muncul kembali!! Selepas senyap seketika terutama selepas pilihanraya umum lalu termasuk pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, cerita pengundi hantu kembali bergema di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Ini berikutan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengatakan seramai 2,215 pengundi hantu dan pengundi yang meragukan dikesan di Taman Bandar Baru Bangi di sini.
Dakwa PKR lagi jumlah itu mewakili kira-kira 63 peratus daripada keseluruhan 3,544 pemilih berdaftar di taman itu.
Mengulas perkara tersebut, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin berkata dakwaan sedemikian hanyalah satu taktik lapuk pembangkang.
Tegas beliau rakyat sebenarnya sudah muak dengan dakwaan-dakwaan karut seumpama itu kerana sehingga kini pembangkang tidak pernah tampil mengemukakan bukti kukuh.
"Mungkin mereka (pembangkang) rasa mereka nak kalah. Dulu pun mereka selalu canang ada pengundi hantu tapi mereka menang juga. Yang hairan mereka tidak bising ada pengundi hantu apabila sudah menang", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi Barisan Nasional sepatutnya mendakwa pembangkang guna pengundi hantu kerana secara tiba-tiba menang banyak kerusi pada pilihanraya umum lalu.
"Tapi kita bukan macam pembangkang. Kita sentiasa hormat pilihan rakyat dan yakin dengan demokrasi pilihanraya.
"Kalau mereka mula buat cerita pengundi hantu, itu kita anggap petanda baik buat BN kerana mereka mungkin mula rasa pengundi akan menolak mereka di sini", ujarnya.

No comments:

Post a Comment